KATA KATA ALUAN PENGETUA SEMPENA TAHUN BARU 2020
Posted by ashari on 31 December 2019 05:08



Assalamualaikum & Selamat Sejahtera, Salam Malaysia Bersih dan Salam Tahun Baru 2020

Segala puji-pujian dan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya kita masih dapat berbakti kepada SMK Seri Hartamas dengan penuh dedikasi dan kesetiaan. Saya berasa amat bertuah kerana masih dapat berkhidmat dan menerajui SMK Seri Hartamas yang semakin cemerlang di Wilayah Persekutuan.

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 kepada semua warga SMK Seri Hartamas termasuk ibu bapa yang saya hormati. Selamat Kembali bertugas kepada semua guru-guru dan selamat kembali dengan azam baru kepada semua pelajar SMK Seri Hartamas! Semoga tahun baru 2020 ini memberi lebih banyak kecemerlangan kepada sekolah kita dan membawa keberkatan kepada kita semua.
Pada tahun 2020 ini, visi sekolah adalah SMK Seri Hartamas -sekolah terunggul di peringkat Wilayah Persekutuan dan matlamat sekolah adalah menjadi sekolah cemerlang yang ternama setanding dengan sekolah- sekolah berprestasi tinggi. Untuk itu, pihak pentadbir dan guru-guru perlu proaktif dan bergerak sederap untuk meningkatkan kemenjadian murid di SMK Seri Hartamas. Pada tahun ini juga, saya akan berusaha untuk melengkapkan infrastruktur sekolah bagi memudahkan guru-guru melaksanakan PdPc dengan menggunakan komputer dan LCD Projektor di setiap kelas. Dengan kemudahan menggunakan teknologi dalam kelas, PdPc diharapkan akan lebih relevan dan menarik. Selain melengkapkan kemudahan ICT, kelengkapan kokurikulum dan penambahbaikan sukan juga akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecemerlangan sukan dan kokurikulum.
Marilah kita sama-sama membawa SMK Seri Hartamas ke tahap yang membanggakan.

"SMK SERI HARTAMAS - PRESTIGIOUS & EXCELLENT"


Sekian.

Suzieany Binti Mohammed Harris
Pengetua